

SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Balai Badang telah ditubuhkan pada tahun 1963 dan merupakan sekolah cawangan kepada Sekolah Kebangsaan Mensudut Lama, Segamat. Di awal penubuhannya sekolah ini beroperasi dalam keadaan serba kekurangan. Tiada bekalan air paip, elektrik dan juga telefon. Bangunannya diperbuat daripada papan dengan beratapkan zink. Jarak dari Bandar Segamat kE sekolah ini kira-kira 50km dan 30km darinya adalah laluan tanah merah. Tenaga pengajar bermula dengan tiga orang guru dan pelajar hanya 30 orang dan proses pengajaran dan pembelajaran pula secara kelas bercantum.

Pada tahun 1981, sekolah ini memulakan sendiri pentadbirannya dan En. Mohamad bin Mohd Dom merupakan Guru Besar pertama yang diamanahkan untuk menerajui kepimpinan sekolah ini dengan jumlah pelajar seramai 70 orang. Pada tahun 1985, sekolah ini telah menerima sebuah blok tambahan bangunan pasang siap yang mengandungi 3 buah bilik darjah dan 2 buah bilik air. Dua unit rumah guru juga dibina pada tahun ini. Bilangan murid sekolah ini bertambah apabila kawasan sekeliling dibuka untuk penanaman kelapa sawit. Pada ketika itu jumlah murid sekolah ini meningkat kepada 100 orang.
​
Pada tahun 1992, sekolah ini mula menerima kemudahan-kemudahan asas seperti air paip, bekalan tenaga elektrik dan juga telefon yang menggunakan kuasa bateri. Bangunan sekolah juga ditambah kepada tiga blok bangunan termasuk kantin. Jumlah murid juga bertambah. Pada tahun 2001, sekolah ini telah dinaiktaraf sepenuhnya di bawah Projek Payung Kementerian Pendidikan yang sekaligus telah merubah wajah sekolah ini. Bilangan bilik darjah telah ditambah dan bangunan kantin baru juga dibina disamping pelbagai kerja baik pulih. Sebuah makmal komputer telah dibina dan siap sepenuhnya pada tahun 2003 dan mula beroperasi pada Jun 2003.

Tuan Haji Rosli bin Ismail merupakan Guru Besar SKBB yang ke 9 dan menjadi teraju utama sekolah sejak tahun 2016 dalam memacu kecemerlangan SKBB. Beliau dibantu oleh tiga orang Pembantu Guru Besar (PGB) iaitu Encik Shaharuddin bin Ismail PGB Kurikulum dan Pentadbiran, Encik Muhammad Sayuti bin Sakawi PGB HEM dan Encik Mohd Sayyidi bin Abdul Shukor PGB Kokurikulum. Memiliki kekuatan guru seramai 14 orang dan 3 orang Anggota Kakitangan Pelaksana (AKP) yang terdiri daripada Pembantu Tadbir N19, Pembantu Pengurusan Murid N19 dan Pembantu Operasi N11. Manakala bilangan murid pula seramai 87 orang bermula dari Prasekolah hingga ke Tahun 6.

